Monday, February 11, 2013

MONOLOG BUAT ZULAIKHA... nukilan buat tatapan semua

     Sinar matanya yang bening itu membuatkan aku terpaku. Zulaikha yang kini berada di hadapan mataku bukan lagi Zulaikha yang kukenali sepuluh tahun dulu. Seorang adik yang manja, galak bergurau senda denganku.Seorang kanak-kanak cilik yang pintar mempamerkan kegembiraan yang mudah terpancar di wajahnya saat melihat aku, menjemput kepulangannya setelah sekian lama. Mengenakan jubah berona hijau bersama jilbab sedondon yang melitupi mahkota yang selayaknya bagi seorang hawa, gadis manis itu tersenyum memandangku. 
     “Abang!” Mendengar suaranya yang cukup berbeza, lembut umpama baldu, mindaku menggamit kembali ingatan yang lama terpendam di ruang minda. Harapan yang sulit tak pernah ku khabarkan kepada sesiapa. 
                                                                   ****** 
     “Abang!” Aku berpaling, menatap wajahnya Zulaikha yang basah digenangi tangis. 
     “Kenapa ni?” Aku mengusap rambutnya, mengharapkan sentuhan tidak seberapa itu bisa mengusir galau yang bertamu di hatinya. 
     “Adik tak mahu ikut Aunty Safira… Adik nak duduk sini dengan abang.” Zulaikha menyembunyikan wajahnya di dadaku. Melampiaskan sebaknya yang tidak dapat ditahan. Dapat kurasakan esakannya makin hebat. Aku buntu! 
     Aunty Safira, kakak mama yang bekerja sebagai jururawat yang bertugas di Qattar. Setelah bertemu jodoh dengan seorang jejaka berketurunan Arab kelahiran Makkah, Aunty Safira menetap di Makkah mengikut suaminya. Sekilas, tiada siapa yang percaya mama dan Aunty Safira punya pertalian darah. Aunty Safira dan mama, kedua-duanya punya kelebihan tersendiri. Aunty Safira punya raut dan tingkah yang cukup lembut, menampakkan keyuan dan kelembutan yang menjadi fitrah seorang wanita. Berbeza dengan mama, yang lebih moden dan sofistikated. Sesuai benar dengan status dan kerjayanya sebagai ibu tunggal dan wanita korporat yang memerlukan luaran dan dalaman yang tegas untuk kekal alah bisa tegal biasa di tengah-tengah lautan manusia. 
     Namun, hingga kini, tatkala usia makin menginjak ke pelabuhan senja, Aunty Safira masih tidak dikurniakan putera mahupun puteri yang bisa menghibur dan menjaga hati yang kian tua. Sering hujung lengan bajunya menjadi tempat mengesat air mata yang mengalir lewat dpipinya saat melihat Zulaikha, adikku yang kian membesar menjadi kanak-kanak pintar lagi petah berbicara. Sedaya-upaya ingin mengerti kesengsaraan yang di alami satu-satu kakaknya, mama tidak dapat berkata tidak saat Aunty Safira menyuarakan hasratnya ingin menjaga Zulaikha. Meminta hadiah paling berharga sebelum matanya tertutup di hujung nafas, seorang puteri seperti yang diimipikan. Seorang puteri bernama Zulaikha. 
     “Tak sayang. Ika kena ikut cakap mama. Aunty Safira pun sayang Ika…”Pujuk mama menghalang kedegilan Zulaikha yang tetap dengan kemahuannya. 
     “Aunty Safira sayang Ika, mama pun sayang Ika. Tapi Ika sayang mama… Kenapa? Tak pentingkah siapa yang Ika sayang?” Mama terkedu mendengar bicara Zulaikha. Aku menarik nafas menahan sebak yang terbuku dalam dada yang berkumpul menjadi satu beban yang kian memberat di pundak. Berupa tanggungjawab yang tidak terlunas. Aku, seorang abang yang tak mampu mempertahankan adikku sendiri. 
     “Ika tak nak ikut! Ika tak nak ikut!” Masih segar dalam mindaku rontaan terakhir Zulaikha ingin melepaskan diri dari pegangan Aunty Safira. Kenangan yang kufikir sudah lama lupus kembali terlayar di benak fikiran, telus menelusuri sereberum. 
                                                                  ***** 
     “Zul! Zul! Apa berangan kat depan meja makan ni? Dahlah tu… Mama nak pergi kerja ni. Jangan lupa panggilkan Ika turun makan sekali.” Aku terkesima. Bingung. Mama mencapai tas tangannya lantas mencium ubun-ubunku sebelum berlalu meninggalkan aku termangu-mangu sendirian. 
     Aku memandang meja makan yang terletak elok diatasnya secangkir teh yang masih belum disentuh olehku. Aku mengalihkan pula pandanganku kearah cawan yang tertangkup di depanku. Pantas aku bangkit, mengatur lemah langkah menuju ke kamar Zulaikha. Aku melirik kearah kearah Zulaikha yang sedang khusyuk di sejadah, tunduk di sujud terahir di balik pintu. Pukul berapa sekarang? 7.30 pagi? Solat apa agaknya? Aku lupa... Dhuha mungkin? 
     Zulaikha…. Namun sayang, panggilan itu cuma bergema di hatiku. Abang rindu! Aku rindu suaramu adikku! Aku rindu suaramu yang sering bergelak ketawa denganku dulu. Sungguh, abang rindu! Sudah pudarkah sayangmu pada abangmu ini? Tercicirkah sayangmu itu pada setiap kilometer jauhnya jarak antara kita berdua adikku? Dan akan kembalikah kasihmu itu seperti aku kini kembali berdiri hampir denganmu? 
     Sekembalinya Zulaikha selepas sepuluh tahun, terbang bersama 1001 perubahan. Aku canggung bersamanya. Segala pertuturan, tingkah lakunya cukup terjaga. Suaranya yang lunak kini hanya terserlah bersama gemersiknya saban malam dalam susunan hijaiyyah yang membait kalam yang cukup indah. 
Namun Zulaikhaku sayang, hanya tunduk dan berlalu tatkala tunangku menjeling sinis pakaiannya yang dilitupi hijab lengkap. Tetapi aku, abangnya hanya membisu apabila rakan-rakanku berseloroh mengusiknya.
     “Alamak, kitorang tak tahu kau ada simpan minah Arab dalam rumah kau ni, Zul!” Zulaikha adikku hanya mempercepatkan langkah menuju ke kamarnya. Sempat matanya mengerling ke arahku yang diam seribu bahasa. Aku tahu dia terkilan dengan sikapku. Maafkan abang, adikku! 
     Namun sejak itu, Zulaikha sering sakit-sakit. Batuknya berlanjutan berminggu-minggu. Badannya kerap demam-demam sehingga mengganggu pengajiannya dalam bidang Bahasa Arab di Universiti Islam Antarabangsa. Kuliahnya banyak yang tertangguh. Keadaan kesihatannya yang tidak menentu membimbangkanku. 
Segalanya terbongkar apabila Mak Tijah menjerit memanggil aku apabila Zulaikha rebah ketika membantunya membasuh pinggan di dapur pagi itu. Mama pulang serta-merta apabila aku menelefonnya dari wad kecemasan hospital. Doktor Rushdi, kawan lama mama yang memeriksa Zulaikha, yang kini seorang pesakit leukemia di Hospital Besar Kuala Lumpur. 
     Apabila melihat Zulaikha terbaring lesu di wad, aku belajar makin menjadi seorang perindu. Zulaikha, adikku sayang… Bangunlah… Abang bukan sahaja rindu dengan gurauan dan gelak manjamu, kini abang juga rindu ingin mendengar suaramu mengaji Al-Quran, abang rindu melihatmu solat khusyuk, sesuatu yang tak pernah ku rasai seumur hidupku. Abang rindu ingin menatap wajahmu yang penuh ketenangan itu kembali bertenaga, sayang. 
Namun cukup aku sesali, selama ini aku silap mentafsir betapa sayangnya dia padaku. Saat itu, kali terakhir aku melihat matanya yang bening itu hidup dan melimpah dengan kolam emosi. Zulaikha menggenggam tangan ini erat sebelum menyebut namaku dalam kepayahannya menyambut panggilan Ilahi. 
     “Abang… Abang… Zulfakar…” Dahinya berkeringat, akan tetapi raut wajahnya masih tenang seperti selalu. Adikku tersenyum ke arahku sebelum bibirnya mengucap kalimah syahadah lantas menghembuskan nafas terakhir saat jari-jarinya masih bertaupan erat di jemariku. Cuma kehangatannya sudah tiada. Genggaman itu telah terlerai. 
Ku kunjungi pusara dinda 
Sunyi pagi disinari suria 
Wangi berseri puspa kemboja 
Menyambut aku mewaliki dinda 
Tegak aku di makam sepi 
Lalang-lalang tinggi berdiri 
buah nisan terkapar mati 
hanya papan di makan bumi…. 
     Aku masih bingung apabila mama menghulur sebuah kepadaku setelah jenazah Zulaikha dikebumikan pagi itu. Pada dada helaian pertama diari separuh lusuh itu, mataku terpandang catatan nama yang tertera di atas kertas yang hampir kekuningan yang cukup untuk membuatkan jiwa ini terasa sebu. 

30 Disember 2000, 
     Musim dingin datang lagi. Angin yang menerbangkan sejuk tanpa salju di bumi karamah ini membuatkan aku menggigil. Teringat pula pada rumah. Apa khabar agaknya Abang Zul sekarang? Jarang benar dia menelefonku kini. Mengapa ya? Mungkin sibuk dengan persediaan SPM agaknya… Umi Safira pesan supaya sentiasa bersangka baik pada orang lain. Lagipun abang Zul bukan orang lain denganku. 
Aku selak beberapa helaian lagi. 
28 April 2001 
     Dari jendela kamarku, dapat aku lihat pepohon tamar mula berbunga. Tak sabar rasanya ingin merasa kemanisan tamar segar bila pokok berbuah nanti. Bagusnya kalau mama dan abang Zul dapat merasa bersamaku. Abi Hamid cakap kita harus bersyukur dan berkongsi rezeki bersama orang lain. Nanti aku pesan umi minta kirimkan sedikit kepada abang dan mama. 
14 November 2001 
     Hari ini aku menunaikan umrah bersama Abi Hamid dan Umi Safira. Bersyukur rasanya… Tetapi tentu lebih seronok kalau dapat tunaikan umrah bersama abang dan mama. Tunggulah nanti, kalau boleh aku mahu kerjakan haji sekali dengan mama. Tak tahulah bila agaknya. Mama pun tak pernah beritahu bila mahu melawat aku. Tak kisahlah, waktu di makam Ibrahim, aku solat hajat minta kesejahteraan Allah atas mama dan abang Zul walau di mana pun mereka berada. 

     Tidak tahan dengan perasaan, aku menutup kasar diari yang merakam luahan bukan lisan milik sebuah permata hidup yang tidak lagi bernafas bernama Zulaikha. Tiba-tiba sekeping sampul biru jatuh di ribaanku. Surat itu buatku. Tertera tulisan tangan yang ditulis dengan tinta biru tatkala aku buka lipatan kemas kertas kumal di hadapanku itu.
 
                                                  Assalamualaikum Abang Zulfakar… 
     Maafkan Ika andai kerana warkah ini tiba di tangan Abang saat Ika tidak lagi dapat bertemu abang. Abang, Ika rindukan abang bercakap dengan Ika. Ika bersyukur kerana sepanjang Ika terlantar di hospital ini, sering sekali abang luangkan masa dengan Ika. Ika menanti kemesraan kita kembali seperti Ika. Ika yakin ia hanya soal masa. Dan Allah telah membuktikan segala-galanya. Berkat kesabaran abang dan Ika, Ika boleh berbual dengan abang seperti dulu walaupun keadaan Ika terbatas. 
     Abang, Ika rindu untuk melihat abang bersama-sama Ika menyertai usrah menjalankan tugas-tugas da’ii. Biarlah kita berganding bahu berjuang ke jalan Allah. Mengajak yang ma’ruf dan menyudahkan yang mungkar. Tapi apakan daya Ika abang, kiranya impian Ika hanya tinggal harapan. 
     Abang, ingin sekali Ika lihat abang berjuang di jalan Allah, seteguh pedang Zulfakar yang terhunus di medan tempur, menjatuhkan satu-persatu musuh Allah. Tergenggam kemas dalam pegangan pemuda berani bernama Ali. Ika mahu abang begitu. Walaupun medannya berbeza, maksudnya tetap sama. 
     Andaikata segala isi surat ini terlalu berat digalas sebagai wasiat, cukuplah jika ini sekadar permintaan terakhir Ika daripada abang. 
                                                                                                       Yang merindumu, 
                                                                                                             Zulaikha 
                                                                                                              Adikmu… 
     Aku menangis, luluh rasa hatiku apabila kiranya titipan terakhirnya digenggamanku ini menggambarkan impiannya yang menggunung. Baru kini aku sedar, hidupku kini benar-benar terpesong dari landasan yang sebenar. Memang benar aku seorang perindu. Bukan sahaja kepada seorang adik yang aku sayang. Tetapi rindu kepada Allah yang kini makin jauh daripadaku. 
     Aku tahu, hidup kami sekeluarga sejak ketiadaan abah berkiblatkan barat. Mama selalu sibuk dengan kerja-kerja pejabatnya. Bertungkus -lumus menguruskan syarikat peninggalan abah. Tetapi aku tidak menyalahkan mama. Kerana aku tahu mama lakukan semuanya buatku. 
     Ya Allah Zulaikha. Sesuai benar dengan namamu Zulaikha, seorang pencinta yang setia. Cintamu yang agung terletak di mercu paling atas. Cintamu kepada Allah yang Maha Esa. Kasihmu hanya buat Rasulullah, kekasih Allah. Cuma aku terkilan, kerana engkau pergi sebelum sempat kau bertemu Yusufmu. 
                                                                      ***** 
     Ya akhi! Cepatlah. Ceramah pemantapan sahsiah tu mula pukul 9.00 malam. Takut nanti tak sempat.” Suara Luqman, penceramah muda yang petah berbicara apabila diminta member tazkirah. Tetapi cukup menjaga lidah dalam keengganan berkata-kata sehingga mencambahkan dosa mencantas kenagan itu. Lamunanku terbejat. 
Aku menapak ke arah Luqman yang menunggu aku di pintu musola. Sambil mendongak memandang langit yang kebiruan, hatiku bermonolog lagi. 
     Adikku, abang tunaikan hasratmu. Abang sedaya-upaya mengerjakan amar ma’ruf nahi mungkar seperti impianmu, yang kini juga menjadi matlamatku. Abang mahu penjadi pengemis cinta Ilahi, perindu syahid abadi. Seperti kata-katamu, tetap teguh seperti pedang Zulfakar yang gagah terhunus di tangan Saidina Ali yang digeruni di medan perang mempertahan agama suci. 
     Walaupun pemergianmu pernah melumpuhkan separuh semangatku. Tapi aku aggap ia sebagai satu ujian buat aku dalam meredah denai-denai asing kembara sufi ini. Aku sedar, perjuangan dakwah tidak terhampar permaidani merah, tetapi penuh dengan duri semalu memedihkan dan menuntut beribu pengorbanan. Manakan dapat dihidu harum mewangi, jika tidak dinyalakan setanggi. Dan sudah tentu tapa kehadiranmu, aku masih lena dalam pelukan keindahan dunia sehingga terlupa singkatnya perjalan. Terima kasih zulaikhaku sayang.